| M | T | W | T | F | S | S |
|---|---|---|---|---|---|---|
| « May | ||||||
| 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 |
| 8 | 9 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14 |
| 15 | 16 | 17 | 18 | 19 | 20 | 21 |
| 22 | 23 | 24 | 25 | 26 | 27 | 28 |
Mengenai Alam Emas
Sebaran Am
Capaian
Harga Hari Ini
Anda ingin menunaikan haji??? Mungkin anda terpaksa fikirkan semula jika anda menggunakan wang kertas sebagai asas tabungan haji anda.

Ianya merupakan salah satu dari kesan inflasi. Apa nak dihairankan kerana wang kertas dalam simpanan akan menyusut nilainya setiap hari. Walaupun setiap tahun dividen diberikan, ianya masih tak mampu menahan lonjakan inflasi. Anggaran kos sebenar adalah RM12600, dan perbelanjaan selebihnya disubsidi oleh Tabung Haji. Tapi sejauh mana pihak Tabung Haji mampu menampung subsidi yang meningkat setiap tahun. Sampai satu masa ianya akan meletus juga akibat daripada inflasi.
Setiap tahun kos sara hidup meningkat dan agak menghairankan ianya tidak selari dengan peningkatan pendapatan. Ia menunjukkan kuasa beli kita semakin kurang.
Datuk Salleh Majid berkata.. “Gaji seorang akauntan yang baru mula bekerja pada tahun 1978 ialah RM2000, dan sekarang gaji mula seorang akauntan masih RM2000”
Bukankah ada sesuatu yang tak kena dengan sistem matawang ini.
Jika sepuluh tahun dulu seorang pakcik yang mementingkan kehalalan dan toyyiba (tak mahu terlibat dalam riba/dividen/bonus) berhajat menunaikan haji, bertanya kepada pegawai Tabung Haji.
“Tuan berapa banyak duit yang diperlukan untuk naik haji”
Maka diberitahu kepadanya RM6000.
Dengan penuh takwa, dikumpulnya RM50 sebulan. Genap sepuluh tahun pergilah pakcik tu ke Tabung Haji.
“Nak, ni pakcik bawa RM6000, Pakcik nak pegi Mekah..”
Pegawai tu pun jawab.. “Eh pakcik nih, mana cukup RM6000 nak ke Mekah”
“Dulu kata RM6000 boleh naik haji..apa ni??”
“Tu 10 tahun dulu.. la ni naik Air Asia pun tak tentu cukup..” kata Pegawai tu..
Sekiranya pakcik tu mengumpul RM50 sebulan selama 5 tahun lagi, bolehkah anda jamin kos menunaikan haji masih RM9000 lebih??
Tapi jika pakcik itu menggunakan dinar emas sebagai asas simpanan untuk menunaikan haji, insyaallah ianya akan lebih dipermudahkan.
Jika pakcik itu mengumpulkan 1 dinar emas setiap 4 bulan, selama 10 tahun pakcik itu mampu mengumpul 30 dinar emas. Harga 30 dinar emas pada ketika ini lebih kurang RM14000. Jadi Pakcik itu masih mempunyai duit lebih untuk berbelanja kepada cucu bila pulang dari Mekah nanti..
Percaya atau tidak, kos menunaikan haji bagi umat Islam sekitar Asia Tenggara adalah 30 dinar emas sejak 20 tahun dahulu. (Saya tak ingat sumbernya – akan diberitahu kemudian)
Tabung Haji mungkin patut menukar potfolio simpanan dalam bentuk emas. Sebaiknya anda mulakannya dengan diri sendiri dahulu. Tetapkan simpanan anda dengan 1 dinar emas setiap bulan.
Dinar sebagai mas kahwin
17/05/09

Gambar ihsan – Pernikahan Hadi dan Sha
Sebaik-baik lelaki adalah mereka yang memberikan mas kahwin yang paling besar buat isterinya. Ia merupakan pemberian wajib seorang lelaki kepada bakal isterinya seperti yang telah diperuntukkan oleh hukum syarak.
Mas kahwin boleh dibayar dalam pelbagai kaedah dan apa jua bentuk mengikut kesesuaian dan peredaran zaman. Lazimnya ia disempurnakan dengan wang ringgit, Al-quran, barang kemas dan pelbagai bentuk lagi mengikut persetujuan dan kemampuan kedua belah pihak.
Mas kahwin sepenuhnya adalah hak milik isteri. Biasanya ia disimpan terus oleh isteri sebagai “tanda kenangan” pernikahan dan jarang sekali dijual kecuali dalam keadaan yang terdesak.
Pada hari ini dinar emas mendapat sambutan yang menggalakkan sebagai mas kahwin. Mengapa ia dibayar dalam bentuk dinar emas??? Ada banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh kedua belah pihak lelaki dan perempuan. Dinar emas mempunyai kestabilan dari segi nilai intrinsiknya (nilainya tidak berkurang walaupun dimakan waktu) malah ianya cenderung untuk naik jika dibandingkan dengan wang kertas yang dimakan inflasi (susut nilai). Bandingkan jika mas kahwin dibayar dengan wang kertas, nilai RM100 sekarang takkan sama dengan RM100 pada 40 tahun akan datang. Sesuai sangatlah ia dijadikan kenangan perkahwinan buat sepanjang hayat.
Bagaimana pula dengan perhiasan barang kemas sebagai mahar??? Asasnya tetap baik kerana sifatnya sama iaitu emas. Tetapi dari segi harga, perhiasan emas harganya lebih mahal kerana kos pembuatan rekabentuk yang cukup besar. Selain itu, kandungan emas perhiasan juga lebih kecil (kira-kira 16-20 karat) dibandingkan dengan dinar emas (22 karat). Emas perhiasan juga biasanya mempunyai selisih harga yang agak besar kerana ia dianggap sebagai emas terpakai.
Jadi jika anda sedang merancang untuk bernikah, mengapa tidak menjadikan dinar emas sebagai mas kahwin sebagai nilai sentimental pada hari bahagia anda.
Peranan Emas
14/05/09
Kebiasaannya orang membeli emas atas beberapa tujuan tertentu, antaranya ialah :
1. Sebagai barang kemas – kilauan emas pasti akan menaikkan seri si pemakai asalkan ianya tidak keterlaluan.
2. Pelaburan – pelaburan jangka pendek dan sederhana, beli ketika harga rendah dan jual ketika harga tinggi. Pada November 2008 harga emas berada RM80-RM90 segram dan pada Februari 2009 ianya mencecah hingga RM116 segram. Keuntungan sehingga 45% dalam masa 4 bulan.

3. Sebagai penyimpan kekayaan – Emas adalah komoditi yang stabil dan mempunyai kadar kenaikan yang sangat baik dalam jangkamasa panjang. Sila perhatikan graf untuk tempoh 5 tahun dibawah. Anda boleh kira sendiri purata peratus kenaikan dalam satu tahun.
Peranan emas ketika ketika kegawatan ekonomi dan politik.
Emas merupakan medium tukaran yang utama (matawang sebenar) semasa kegawatan ekonomi dan politik. Ketika ini masyarakat tidak akan mempercayai wang kertas kerana ia hanya kertas yang disahkan nilai.
Kesan dari hyperinflasi. (Sumber Wikipedia)
The first Zimbabwean dollar was introduced in 1980 and replaced the Rhodesian dollar at par. At the time of its introduction, the Zimbabwean dollar was worth more than the U.S Dollar, with ZWD 1 = USD 1.47. However, the currency’s value eroded rapidly over the years. On 26 July 2006, the parallel market value of the Zimbabwean dollar fell to one million to the British Pound.
Anda tahu berapa yang diperlukan untuk membeli 3 biji telur di Zimbabwe sekarang???

Apa berlaku jika harga emas turun?
Penurunan harga emas boleh disebabkan beberapa faktor. Tapi kebiasaannya ia hanyalah pembetulan pasaran yang bersifat sementara. Contohnya bila berlaku penjualan emas secara besar-besaran oleh pedagang utama dan pembaharuan polisi ekonomi sesebuah negara kuasa besar yang berkaitan dengan komoditi emas ini.
Bagaimanapun harganya akan kembali ke aras sebenar dengan cepat kerana nilai dan permintaan semasa adalah tinggi. Sekiranya harga menurun, ianya merupakan peluang pelabur untuk mendapatkan keuntungan berganda berbanding kenaikan berkala. Permintaan dan nilai logam ini terbukti sejak beribu tahun dulu.
Jadi anda mungkin boleh bermula dengan menyimpan 1 dinar sebulan. Renung-renungkan dan selamat beramal..
Entri ini disalin daripada akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan Forum bertarikh 11/09/2001
Saudara Pengarang,
SAYA berhajat untuk menceritakan pengalaman saya dalam penggunaan emas dan perak sebagai mata wang atau kaedah tukar barang untuk berniaga.
Sejak tahun 1990 lagi, saya dan sebilangan umat Islam yang tinggal di England telah memahami bahawa wang kertas yang dikeluarkan oleh bank negara sesebuah negara itu adalah dipunyai oleh sekumpulan keluarga yang mencengkam kehidupan setiap insan di dalam dunia ini.
Tambahan lagi, setiap helai wang kertas itu tidak bernilai langsung di sisi Allah s.w.t hanya sihir silap mata yang memberikan keyakinan bagi setiap mereka yang segan berfikir.
Malah setiap kali wang kertas ini digunakan, akan bertambahlah cengkaman kuat itu ke atas setiap manusia amnya dan umat Islam khasnya.
Setelah kami fahaminya dengan jelas, maka kami perlu membuat sesuatu untuk membawa kembali perniagaan yang adil dan diredhai Allah.
Pertamanya, kami berpendapat kami mesti berniaga secara pertukaran barang seperti sebiji kelapa ditukarkan dengan nilainya yang sama iaitu 5 biji telur. Kemudian mengapa tidak sekilo beras dengan sekeping dirham perak dan seekor kambing dengan dua keping dinar emas?
Di awal musim bunga 1994, kami mula berniaga di Slough, England. Kami menggunakan kawasan di luar masjid Slough sebagai tempat berniaga dan kami namakannya free halal market (pasar bebas halal).
Di pasar ini semua peniaga boleh datang tanpa lesen atau bayaran. Hanya setiap tukar barang mestilah menggunakan emas atau perak atau benda-benda yang bernilai di sisi Allah yang ditukarkan dengan barang-barang yang hendak dibeli.
Syarat yang lain ialah undang-undang perniagaan Rasulullah s.a.w seperti tidak boleh membeli di pasar ini dan menjualnya dengan lebih murah di pasar lain yang anggaran jaraknya beberapa meter daripada pasar itu.
Kami berniaga di pasar ini selama setahun. Setiap permulaan hari perniagaan adalah sukar. Mula-mula kami bertukar barang. Perniagaannya lembap. Bagaimanapun apabila perak dan emas digunakan, sekejap sahaja perniagaan menjadi rancak.
Apa yang saya sangat-sangat berasa syukur ialah di saat itu juga kami merasai anugerah Allah kepada orang yang cuba menegakkan perintah-Nya. Kami tersenyum sambil meleleh air mata dan tersedu-sedu kerana kami nampak dan merasai nikmat-Nya.
Biasanya, orang akan bersyukur apabila faham atau nampak rahmat Allah setelah ia berlalu tetapi kami menikmatinya semasa rahmat dan nikmat itu diturunkan.
Dapatlah kami imbasan mengapa Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a berpusing-pusing di kala Nabi Muhammad s.a.w mengumumkan bahawa syurga telah ditentukan kepada beliau. Alhamdulillah.
Pengalaman lain yang ingin saya kongsi bersama ialah semasa kami berniaga kami tidak pernah putus atau kesempitan makanan di rumah.
Kami tidak menjadi kaya raya tetapi hidup kami selesa. Rumah tangga kami permai dan tenteram.
Ini hanya kami sedari apabila merenung ke belakang selepas beberapa bulan meninggalkan perniagaan di Slough oleh sebab-sebab yang tidak dapat saya elakkan.
Dua pengajaran daripada pengalaman itu ialah pertama, pasar itu adalah kepunyaan orang-orang yang berniaga dan membeli-belah di situ. Berkat dan rahmatnya di rasai oleh mereka yang berkaitan sahaja.
Kedua ialah, jika kita percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, Allah tidak akan mensia-siakan kita. Dinar emas dan dirham perak ada disebut dalam al-Quran. Malaysia negara kita. Dinar dan dirham ada di sini. Kita boleh berniaga menurut perintah Allah. Insya-Allah.
- KHAIRUDIN HUSSIN, Kuala Lumpur.
*********************************************
Komen Saya :-
* Emas diiktiraf sebagai matawang yang sebenar diseluruh dunia. Anda boleh menjalankan apa saja urusniaga (kaedah barter trade) di bandar seluruh dunia tanpa mengalami susut nilai (nilainya sama di seluruh dunia). Tetapi dengan wang fiat (wang kertas) awal-awal lagi anda mengalami kerugian semasa penukaran matawang asing.
* Lebih malang lagi jika anda membawa wang tunai Ringgit Malaysia (RM) ke negara yang tidak memperdagangkan RM. Wang anda akan jadi kertas biasa kerana ianya tidak bernilai disana.
Kenapa simpan emas
10/02/09
Emas selalu dikaitkan dengan wanita kerana kilauannya menyerlahkan keanggunan dan lambang status diri. Selain dijadikan perhiasan diri, emas juga disimpan kerana mempunyai nilai sebagai aset pelaburan kerana nilai komoditinya yang stabil serta tidak terpengaruh dengan faktor ekonomi yang tidak menentu.
Antara bentuk emas yang biasanya menjadi tumpuan untuk tujuan pelaburan adalah emas bar dan dinar emas.
Dinar emas mempunyai nilai intrinsik kerana ia bukanlah sekadar mata wang yang nilainya disandarkan kepada simpanan emas, tetapi mata wang sendiri yang diperbuat daripada emas. Ini menjadikan dinar emas itu sebagai medium untuk menyimpan kekayaan yang hakiki. Dinar emas juga sah diperlakukan di mana-mana negara di dunia ini kerana nilainya bukan ditentukan oleh negara pengeluar tetapi nilainya terletak pada nilai semasa emas itu sendiri. Dinar emas juga merupakan mata wang yang paling stabil di dunia. Pergerakan harga emas di pasaran dunia adalah lebih stabil jika dibandingkan dengan pergerakan harga saham dan mata wang lain di pasaran terbuka. Kestabilan nilai emas jugalah yang membuatkan Dinar emas tidak mudah untuk dimanipulasi oleh pedagang-pedagang atau spekulator-spekulator mata wang dunia.
Seperti dinar emas, emas bar juga boleh dibeli secara fizikal dan disimpan sendiri oleh pembeli. Ia boleh dijadikan satu bentuk simpanan yang bijak dan bernilai yang mudah dicairkan pada bila-bila masa diperlukan. Sebagaimana yang kita ketahui, nilai emas tidak dipengaruhi oleh keadaan politik atau kedudukan ekonomi sesebuah negara. Jadi ia akan tetap bernilai di mana-mana dan boleh dicairkan di mana-mana sahaja di dunia ini.
Bagi para pemilik emas, simpanan mereka bukanlah dalam bentuk Ringgit Malaysia (RM) ataupun harga tunai ketika membeli emas itu. Penyimpan sebenarnya menyimpan nilai wangnya didalam emas yang nilainya akan berubah mengikut harga pasaran. Berbeza dengan simpanan wang di bank, nilainya tetap sama walaupun pada hakikatnya kuasa membelinya semakin berkurangan disebabkan oleh faktor inflasi. Untuk mengurangkan kesan inflasi ke atas nilai simpanan tersebut, bank akan memberi faedah (riba’) yang tidak dibenarkan sama sekali dalam Islam.

Emas bar dan dinar emas yang disertakan bersama sijil ketulenan.
Spesifikasi Dinar
25/01/09
Dinar emas dicetak mengikut piawaian ukuran timbangan. Dinar emas diperbuat daripada 4.25 gram emas 22 karat (emas 916). Ianya mengandungi 91.66 peratus emas tulen. Emas tulen disebut emas 24 karat atau emas 99.99 atau mengandungi hampir 100 peratus ketulenan. Dirham perak pula mengandungi 2.975 gram perak sterling.
Semua ukuran ini mengikut piawaian Khalifah Umar Al-Khatab yang menetapkan nisbah perbezaan dinar dan dirham berdasarkan berat relatif kedua mata wang emas dan perak iaitu “7 dinar mestilah bersamaan dengan 10 dirham dalam ukuran berat”.
|
Unit |
Ukuran Timbangan |
|
½ Dinar |
2.125 gram emas (22 karat) |
|
1 Dinar |
4.25 gram emas (22 karat) |
|
2 Dinar |
8.5 gram emas (22 karat) |
|
1 Dirham |
3 gram perak sterling (0.999) |
|
1 Khamsa (5 Dirham) |
15 gram perak sterling (0.999) |
|
Fals/Fulus |
Tembaga |
Pengeluar dinar emas dan dirham perak di seluruh dunia menggunakan piawaian seperti di atas. Sebarang perubahan dari segi kandungan emas atau berat timbangan emas tidak membolehkan koin tersebut dinamakan dinar atau dirham.
Piawaian dinar emas keluaran Public Gold

Pengenalan Dinar Emas
19/01/09

10 Dinar, 5 Dinar dan 1 Dinar
Penggunaan emas dan perak sebagai medium pertukaran (jual beli) telah dimulakan sejak beribu tahun dahulu. Ianya merupakan komoditi yang bernilai untuk dijadikan alat pertukaran sebelum matawang berasaskan kertas diperkenalkan.
Mata wang di dalam Islam dikenali sebagai ”wang komoditi” kerana nilai mukanya sama dengan nilai intrinsik (nilainya sebagai komoditi). Berbeza dengan wang kertas yang dipakai hari ini, nilai muka wang kertas biasanya jauh lebih besar daripada nilai kertas itu sendiri. Dari segi hukum, Islam menerima dan mengamalkan wang komoditi sahaja. Nilai wang komoditi ini ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran bagi komoditi berkenaan. Komoditi yang ditetapkan dalam Islam sebagai wang ialah emas dan perak.
Pada zaman pemerintahan Khalifah Ummar al-Khattab, penggunaan dinar emas dan dirham perak telah dimantapkan untuk menjadi matawang umat Islam di seluruh dunia. Kepentingan dinar emas jelas dicatatkan di dalam Al-Quran dan hadis bagi memenuhi keperluan ibadah seperti zakat, perkahwinan dan hudud.
Penggunaan dinar emas oleh kerajaan Islam berakhir apabila pemerintahan Khalifah Uthmaniyah di Istanbul, Turki telah diperdaya untuk menerima pinjaman wang kertas daripada Eropah untuk tujuan pembangunan. Ini telah menjadikan negara tersebut berhutang melalui sistem wang kertas bersama riba yang telah melemahkan seluruh umat Islam. Dengan tipu helah ini, sistem kewangan dinar emas telah digantikan dengan sistem kewangan berteraskan wang kertas.
Sistem wang dunia yang berlandaskan riba ini telah membawa banyak kerosakan seperti seperti keruntuhan ekonomi yang sedang berlaku sekarang ini.
Kini, ada usaha untuk mengembalikan dinar emas. Ditengah-tengah kekalutan ekonomi yang melanda, kilauan dinar emas dilihat dapat mengembalikan sistem kewangan yang lebih munasabah dan mantap. Ramai yang telah sedar akan tipu helah sistem kewangan yang ada dan masyarakat dunia sudah mula meminta supaya mengembalikan kebebasan untuk memilih. Sekiranya demokrasi dilaungkan di seluruh dunia supaya diamalkan dalam semua perkara, mengapa tidak kebebasan diberikan untuk memilih dinar sebagai wang?
RUJUKAN :
Prof Madya Dr. Hj. Zuhaimy Ismail, 2003. Kembalinya Dinar Emas dan Dirham Perak : Matawang umat Islam
Dr. Rosli Bin Yaakop, 2006. Aspek Kawalan Sistem Matawang Dinar.


